MENU

1.9 Penterjemahan Dasar-Dasar Peringkat Negeri Dan Daerah

Berpandukan kepada konsep dan strategi pembangunan wilayah Terengganu Utara, Rancangan Struktur Majlis Daerah Setiu Dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan Setiu 1991–2010 serta Rancangan Pembangunan Daerah Setiu 1991 mencadangkan supaya tumpuan pembangunan diberikan kepada sektor pertanian dan pelancongan.

Memandangkan kedua-dua sektor ini merupakan aset utama kepada daerah ini adalah dijangka bahawa tahap pembangunan ekonomi akan dapat dipertingkatkan dengan pengukuhan pembangunan sektor tersebut dan secara tidak langsung ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan aktiviti perbandaran.

Berdasarkan kepada kedua-dua kajian tersebut, objektif pembangunan yang telah digariskan untuk Daerah Setiu adalah seperti berikut:

  • Mempelbagaikan asas ekonomi
  • Meningkatkan pembangunan bandar agar mencapai taraf hierarki perbandaran yang dicadangkan
  • Menyediakan asas infrastruktur yang baik
  • Meningkatkan hasil dan mutu pertanian
  • Meningkatkan aktiviti pelancongan

2.0 Konsep Dan Strategi Pembangunan>

Konsep dan strategi pembangunan yang telah digubal di peringkat Laporan Teknikal Kajian Rancangan Tempatan Daerah Setiu, ianya bertujuan untuk menjadi hala tuju kepada perancangan yang lebih komprehensif, berdaya maju dan mampan melalui penyediaan cadangan- cadangan yang terperinci mengikut potensi dan kesesuaian bagi setiap aspek yang telah dikaji.

Bahagian Konsep dan Strategi Pembangunan ini akan membincangkan secara ringkas mengenai keadaan semasa kawasan kajian serta merumuskan pemilihan konsep dan strategi pembangunan yang bersesuaian untuk kawasan rancangan tempatan (KRT) dari segi pembangunan fizikal, pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial.