MENU

Oleh Aminudin Ismail

Daerah Setiu akan berubah wajah apabila sebuah kawasan perniagaan yang dilengkapi pelbagai kemudahan dikenali sebagai Rahmat Station bakal dibina di Kampung Rahmat tidak lama lagi.

Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan berjumlah RM9.95 juta bagi fasa pertama projek yang bakal merubah landskap dan melonjakkan ekonomi daerah Setiu itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, Dato' Sabri Mohd Nor berkata, Rahmat Station yang terletak di jalan utama antara Lebuh Raya Pantai Timur 2 ke Besut dan Kelantan itu dijangka akan menjadi tumpuan orang ramai apabila siap kelak.

"Sembilan unit perkedaian akan dibina di tapak berkenaan dan disusuli kemudahan-kemudahan lain.

"Selain unit perkedaian, Rahmat Station ini juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti tandas, taman permainan, parkir, surau dan lain-lain, seolah-olah sebuah kawasan Rehat dan Rawat (R&R)," katanya kepada pemberita ketika hadir di Majlis Anugerah Cemerlang, Majlis Daerah Setiu di Bandar Permaisuri, semalam.

Menurutnya, kerja-kerja membersihkan tapak yang dahulunya ditanam dengan tanaman kelapa sawit sedang dilakukan.

"Dijangkakan kerja pembinaan projek itu akan bermula Ogos depan.

"Tapak berkenaan melibatkan tanah berkeluasan 10 ekar tetapi bagi fasa pertama, pembinaan hanya dilakukan di atas tanah berkeluasan dua ekar yang akan dibangunkan dengan unit perkedaian (restoran).

"Pembinaan bagi fasa pertama siap sepenuhnya pada 31 Julai 2019," katanya.

Katanya, pembinaan di tapak Rahmat Station itu melibatkan dua fasa dengan anggaran kos awalan sebanyak RM30 juta bagi kedua-dua fasa.

"Fasa kedua yang dijangka siap selewat-lewatnya penghujung tahun 2021 dengan bangunan kedai bertingkat pula," katanya.

Hadir sama pada program itu ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Setiu (MDS) Mat Azmi Arshad.

sumber: The Iman Tribune